WAHAI isteri-isteri, ketahuilah bahawa kajian The Engage Mutual
menunjukkan 57 peratus lelaki mengharapkan perhatian dan simpati ketika
sakit. Dua pertiga lagi suka merengek dan merungut.”
Anda sendiri bagaimana reaksi apabila suami berkeadaan begini? Saya
selama ini, tidak pernah sedar malah menyangka hanya saya yang berubah
terlebih manja apabila demam, sakit perut atau sakit kepala.
Rupa-rupanya ramai lagi!
Menurut The Engage Mutual, lelaki menganggap selesema biasa sebagai
demam dan sedikit pening kepala sebagai migrain. Mereka mahu dilayan
seperti anak kecil apabila dilanda sedikit masalah kesihatan.
Keadaan itu berpunca daripada gen micronas yang mempunyai hubungan dengan fungsi imun dan dikeluarkan oleh kromosom X.
“Wanita sebaliknya lebih berupaya untuk menentang komplikasi yang
berpunca daripada kecederaan atau jangkitan kerana mereka memiliki dua
kromosom X berbanding satu yang dimiliki lelaki,” hujah penyelidik yang
juga pakar perbidanan dan sakit puan Sekolah Perubatan Yale, Prof Dr
Mary Jane Minkin dalam laporan yang disiarkan BioEssays, baru-baru ini.
Menurut Dr Minkin, lelaki memerlukan isteri untuk menjaga mereka ketika
sakit kerana kajian menunjukkan mereka yang berusia antara 20 hingga 40
tahun jarang bertemu doktor.
“Lelaki pada usia itu biasanya takut untuk jumpa doktor dan apabila sakit sedikit, mereka sangat risau,” katanya.
Dikatakan lelaki berubah menjadi lebih manja ketika sakit malah begitu
mengada-ada sikapnya hanya ketika demam disebabkan terbawa-bawa oleh
pengalaman semasa kecil.
“Mereka teramat merindui kenangan itu... dilayan dan dibelai oleh ibu.
Sentuhan lembut dan penuh kasih sayang oleh seorang wanita jadi
pengalaman terindah hidup mereka dan mahu terus diulang walaupun setelah
mereka dewasa.
“Ini berbeza dengan wanita, yang juga punya pengalaman sama pada zaman
anak-anak namun wanita sebaliknya berupaya menangani diri mereka sendiri
tatkala terkena flu atau sakit ringan,” kata Dr Minkin.
“Inilah kekuatan yang ada pada wanita, yang sangat berguna untuk mereka
pula merawat, membelai dan memanjakan anak-anak yang sakit,” katanya
lagi.
Dr Minkin mengakui, dia sendiri sering dihadapkan dengan keluhan ramai
isteri yang gagal untuk memahami perubahan sikap suami mereka dalam
keadaan seperti itu.
“Hal yang seperti ini, jika tidak difahami atau tidak ada persefahaman
dalam hidup berpasangan, kadang kala boleh jadi masalah,” katanya.
Dihadapkan dengan fakta kajian ini, semoga kita sama-sama lebih
memahami. Janganlah dirungutkan atau dileteri apabila suami yang
badannya gagah perkasa seperti Sazali Samad atau Arnold Schwarzenegger
tiba-tiba merengek minta itu ini.
Janganlah pula berasa geli geleman jika dia minta diusap seperti anak kecil.
Memang, kita selalunya akan dihadapkan dengan pelbagai perbezaan.
Wanita yang lemah lembut sifatnya, gebu gebom pula kulitnya, dalam
keadaan tertentu dikurniakan tuhan kekuatan semula jadi yang tidak mudah
untuk difahami oleh lelaki!
Manakala lelaki yang gagah perkasa fizikalnya, ada ketika menjadi sangat manja hanya kerana diserang selesema.
Itulah perbezaan-perbezaan yang kita perlu fahami dalam hidup
berpasangan kerana lelaki dan wanita sememangnya dijadikan dengan seribu
satu ketidaksamaan.
Dan jurang ketidaksamaan itu bukan untuk diperbesarkan sebaliknya untuk
sama-sama difahami, dihadami dan dihayati sebagai pasak tugu cinta yang
akan kekal teguh hingga ke syurga.
SUMBER:
No comments:
Post a Comment